1.0 PENGENALAN
SEJARAH PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS PADA
PERINGKAT GLOBAL DAN MALAYSIA
Perkembangan francais di Malaysia dikatakan
bermula pada dekad 1970- an dengan kemasukan A&W ke pasaran tempatan. Pengedaran kereta Proton Saga melalui EON
adalah antara projek francais terbesar di Malaysia. Kereta-kereta Proton ini dijual melalui
sistem francais antara EON dan para francaisi dan kejayaannya dapat dilihat
apabila EON kekal sebagai peneraju pasaran dalam penjualan kereta.
Perkembangan
francais semakin pesat di Malaysia apabila kerajaan mewujudkan Program
Pembangunan Francais (PPF) di bawah seliaan Unit Penyelarasan Perlaksanaan,
Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1992.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan francaisi induk, francaisi dan
francaisor tempatan yang berjaya serta menggerakkan penglibatan bumiputera
dengan lebih aktif dalam sektor perdagangan, perindustrian dan
perkhidmatan.
Pihak kerajaan mempunyai
keyakinan bahawa perniagaan francais akan diterima oleh masyarakat di negara
ini dan ia mempunyai potensi yang besar untuk berkembang. Ini adalah berdasarkan banyak produk tempatan
yang berpotensi untuk dibangun dan difrancaiskan sehingga ke luar negara jika
diuruskan dengan baik. Kerajaan Malaysia
juga tidak menghalang produk francais luar negeri untuk masuk ke pasaran
tempatan kerana potensi perkembangan di Malaysia adalah cerah. Namun, semasa era kegawatan ekonomi, tumpuan
kerajaan lebih diberikan kepada mengembangkan produk-produk tempatan. Dari segi pertumbuhan francais, Malaysia
secara umumnya menduduki tangga kedua di kalangan Negara Asia dan tangga ke-21
di dunia.
Tinjauan awal mendapati wujudnya
kira-kira 6500 outlet francais di Malaysia tetapi hanya sebahagian kecil sahaja
yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Persatuan Francais
Malaysia.
Perniagaan
secara francais sudah lama bertapak di Malaysia tetapi baru sahaja popular di
kalangan perniagaan pada dekad 90-an ini.
Menurut Fulop dan Forward (1997), format perniagaan francais telah berkembang
sepanjang 40 tahun yang lalu sebagai bentuk perniagaan alternatif dalam
pengagihan dan pembangunan perniagaan.
Perniagaan francais semakin meningkat
popular dan berkembang dengan pesat di negara-negara membangun. Di Malaysia francais dijadikan sebagai satu
daripada daripada perkakas untuk mencapai matlamat pembangunan negara. Usaha-usaha untuk menambahkan bilangan
pelabur tempatan dalam perniagaan global melalui saluran francais menjadi
agenda terpenting dalam pembangunan negara.
Pakej francais menawarkan pelbagai kemudahan
yang mempertaruhkan jaminan dalam perniagaan.
Walau bagaimanapun, francais merupakan pakej perniagaan yang terbukti mencapai
kejayaan dengan melihat pengalaman di negara maju seperti Amerika
Syarikat.
Francais adalah satu sistem
perniagaan yang dikatakan bermula di Eropah dan dikembangkan dengan pesat di
Amerika Syarikat lebih 100 tahun yang lalu.
Perkataan francais adalah berasal daripada perkataan Perancis “franco”
yang bermaksud kebebasan. System
francais ini kemudiannya menjadi begitu popular dan dianggap sebagai satu
penemuan global yang inovatif dalam strategi pemasaran, yang melangkaui keperluan
pengguna dan sempadan negara.
McCormick Harvesting Machine Company dan
Singer Sewing Machine Company telah memulakan sistem francais di dalam
pengedaran barangan mesin jahit keluaran syarikat mereka di sekitar tahun
1850-an. Ini diikuti oleh industri
automatif di Amerika Syarikat yang menjalankan pemasaran kereta menerusi
perlantikan pengedar francais di awal 1900-an.
Senario ini diteruskan dengan penemuan yang dianggap klasik, McDonald’s
oleh Ray Kroc pada tahun 1955, memulakan sejarah moden sistem perniagaan
francais. Berdasarkan kajian yang
dilakukan di Amerika Syarikat, 96% daripada rakyat Amerika telah mengunjungi
restoran McDonald’s sekurang-kurangnya sekali dan sekurang-kurangnya 8%
daripada mereka menikmati hidangan McDonald’s setiap hari.
Pada masa yang sama juga, Kolonel Harlan
Sanders mempelopori Kentucky Fried Chicken, diikuti oleh rangkaian restoran
makanan segera yang lain seperti Burger King, A&W, Pizza Hut dan
lain-lain. Meskipun, perniagaan francais
seringkali dikaitkan dengan rangkaian makanan segera, namun realitinya hari ini
dari segi nilai jualan, hampir dua pertiga daripadanya disumbangkan oleh
industri bukan berasaskan makanan segera.
Istilah francais mempunyai
pelbagai takrifan yang tersendiri.
Norback & Norback (1982) melihat francais sebagai satu lesen
daripada pemilik (francaisor) mengenai dagangan atau servis yang memberikan
kebenaran kepada francaisi memasarkan produk atau servis di bawah nama yang
dipersetujui dengan sistem francaisor.
Justis dan Juda (1986) pula mentakrifkan francais sebagai salah satu
kaedah pengagihan yang digunakan oleh perniagaan untuk pertumbuhan dan
perkembangan manakala Ayling (1987) berpandangan francais sebagai kaedah
meningkatkan modal oleh francaisor dan untuk francaisor.
Hodgetts dan Luthans (1997) pula
mendefinisikan francais sebagai suatu perjanjian perniagaan di mana satu pihak
(francaisor) membenarkan pihak lain (francaisi) beroperasi dalam satu
perniagaan yang menggunakan tanda perdagangan, logo, barisan produk dan kaedah
pengeluaran sebagai pulangan kepada yuran yang di kenakan. Manakala Sen (1998) menyatakan bahawa
francaisi akan membayar francaisor yuran awal termasuklah bayaran royalti
bulanan di mana ianya dikira berdasarkan peratusan dari hasil jualan. Francaisi juga perlu mengikut norma operasi
yang telah ditetapkan oleh francaisor.
Persatuan Francais
Antarabangsa (IFA) pula mendefinisikan sistem francais sebagai satu sistem dan
kaedah pengeluaran di mana satu cara yang membolehkan individu-individu yang
mempunyai modal yang mencukupi memiliki perniagaan yang unik, selamat dan
terbukti. Satu sistem di mana
membolehkan tuan-tuan perniagaan mengembangkan perniagaan mereka dengan sebuah
organisasi yang telah pun matang dan ternama dan satu sistem yang akan berjaya
sekiranya para francais diberi latihan yang secukupnya dan memahami serta
mematuhi sistem dan prosedur yang ditetapkan oleh francasior.
2.0 SISTEM SOKONGAN KEWANGAN DAN BUKAN KEWANGAN
YANG DIBERIKAN OLEH KERAJAAN DAN BUKAN KERAJAAN BAGI PEMBANGUNAN USAHAWAN
NEGARA
Di
Malaysia, kerajaan mengambil inisiatif utama dalam membantu sektor perniagaan
kecil. Peranan kerajaan dapat dilihat
melalui penubuhan kementerian khas iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan yang
sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Perusahaan Awam dan sebuah badan
berkanun SMIDEC atau Small Business Development Corporation di bawah
Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa. Kedua-dua institusi ini bertanggungjawab
membentuk dasar-dasar kewangan dan pencukaian bagi menyelaraskan sistem bantuan
sokongan kepada perniagaan atau sasaran-sasaran kegiatan ekonomi yang diberi
keutamaan oleh pihak kerajaan.
Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan
Usahawan (KPUn) telah melaksanakan Program Pembangunan Francais dalam usaha
mewujudkan usahawan francais di Malaysia terutamanya dalam membangunkan Kelas
Menegah Bumiputra. Antara peranan
kementerian dalam membangunkan industri francais negara ialah:
● Mengenalpasti
produk-produk yang sesuai difrancaiskan, membangunkan produk francais tempatan
yang berpotensi dan mengenalpasti produk francais luar negara yang boleh
difrancaiskan di Malaysia.
● Membantu
dan menasihati syarikat-syarikat perniagaan mengenai cara dan tindakan-tindakan
yang perlu dibuat oleh mereka untuk memfrancaiskan perniagaan. Ini termasuk panduan untuk menyediakan
dokumen-dokumen perniagaan, menjelaskan kepada mereka mengenai tanggungjawab
setelah menjadi francaisor dan peranan yang perlu dimainkan untuk membantu
francaisi. Dalam hal ini, kerajaan
memberikan insentif dalam bentuk geran sehingga had maksimum RM100,000.00.
Ringkasnya di sini, mereka yang berminat
untuk menjadi francaisi tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan
pembiayaan kerana terdapat pelbagai skim, tabung dan pinjaman yang disediakan
oleh pihak kerajaan dan pihak Institusi kewangan sendiri. Jika francaisi berhajat mengembangkan
operasinya seperti menambah outlet baru, maka pelbagai skim boleh dipohon dan
begitu juga jika francaisi berhadapan dengan masalah aliran tunai. Di samping itu, potensi perniagaan francais
Malaysia untuk berkembang ke negara Asean dan negara-negara lain adalah cerah
di mana kerajaan sentiasa memberikan galakan ke atas usaha-usaha yang
dijalankan. Namun produk tempatan
berkembang ke luar negara masih sedikit dan terikat dengan perniagaan seperti
Langkawi Crystall, Marrybrown Fried Chicken, Nelson dan Sugar Bun.
Untuk menjamin pertumbuhan industri
francais yang mantap di Malaysia, kerajaan telah menggubal Akta Francais 1998.
Pada umumnya akta ini bertujuan:
❖ Membolehkan
kerajaan mengumpul maklumat mengenai syarikat-syarikat yang menjalankan
perniagaan francais melalui satu sistem pendaftaran yang teratur.
❖ Mengawalselia
perlaksaan perniagaan berkonsepkan francais di Malaysia secara keseluruhannya.
❖ Membendung
amalan tidak sihat di dalam perniagaan francais yang antaranya adalah seperti
berikut:
i. Salahguna/kekeliruan
dalam penggunaan istilah francais
ii. Penipuan
dalam tawaran menjual francais
iii. Edaran
dokumen francais yang mengelirukan/maklumat palsu
iv. Diskriminasi
antara pemegang francais
v. Penamatan
perjanjian francais tanpa sebab yang munasabah
vi. Tanggungjawab
di dalam perjanjian yang tidak ditunaikan
Skim bantuan pembangunan francais
diwujudkan dengan tujuan memberi bantuan kepada pengusaha-pengusaha individu
atau syarikat tempatan agar dapat meringankan bebanan, menjadi insentif dan
galakan memfrancaiskan produk dan perniagaan tempatan dan luar negara. Walau bagaimanapun, kerajaan tidak memberi
bantuan sepenuhnya kepada pengusaha, sebaliknya pihak pengusaha perlu juga
mengeluarkan modal sendiri bagi memfrancaiskan perniagaan mereka. Ia merupakan satu pelaburan dalam
memperbesarkan perniagaan dan menunjukkan komitmen terhadap usaha-usaha yang
dijalankan.
KPUn juga menyediakan satu lagi skim
bantuan kewangan yang dikenali sebagai Skim Pembiayaan Francais (SPF) dengan
dana sebanyak 20 juta yang menyediakan kemudahan pinjaman sehingga 70% daripada
kos projek kepada francaisor dan francaisi untuk membeli peralatan, ubahsuai
ruang niaga dan modal pusingan dengan kadar faedah rendah berbanding kadar
faedah pasaran semasa.
Skim Usahawan Siswazah, Tabung Pembiayaan
Usahawan Kecil (SEFF) dan Tabung Usawan Kecil (TUK) adalah skim insentif umum
secara langsung tidak langsung disediakan oleh kerajaan untuk membantu
bakal-bakal usahawan termasuk bakal usahawan francais. Kesan kegawatan ekonomi telah menyebabkan krisis
mencari pekerjaan khususnya di kalangan siswazah institusi pengajian tinggi
dalam dan luar negara. Ekoran daripada
ini, KPUn telah mengadakan satu skim iaitu Skim Usahawan Siswazah dan mengambil
inisiatif untuk menyediakan lebih banyak peluang melatih mereka berdikari dan
menjadi usahawan dengan memberi ilmu pengetahuan dan cara-cara memulakan
perniagaan. Ini akan meningkatkan
bilangan usahawan dan ia terbuka kepada golongan bumiputera dan bukan
bumiputera. Matlamat utama skim ini
adalah untuk memberi peluang kepada siswazah-siswazah mendapat pengetahuan dan
pengalaman di dalam bidang pengurusan perniagaan dan juga untuk mewujudkan
usawahan daripada kalangan siswazah.
Kota Francais telah diilhamkan untuk
memanfaatkan konsep francais sebagai satu kaedah berniaga yang berjaya,
terutamanya untuk usahawan baru. Kota
Francais menempatkan semua jenis perniagaan francais di bawah satu bumbung dan
akan dibangunkan di lokasi-lokasi yang strategik di seluruh Malaysia. Setiap Kota Francais akan menekankan produk
dan servis bermutu, ciri keselamatan dan kemampuan membeli.
Tabung Usahawan Kecil (TUK) merupakan
skim pembiayaan khas yang memperkenalkan pendekatan baru yang lebih berkesan
untuk menyalurkan pembiayaan di antara RM 2,000.00 hingga RM 20,000.00 kepada
golongan usahawan kecil di negara ini.
Ia menawarkan pembiayaan dengan cara tersusun mengikut kesesuaian dan
keperluan perniagaan masing-masing. Kos
pembiayaan sebanyak 5% akan dikenakan kepada setiap peminjam. Biayaan dibuat secara tetap dengan bayaran
ansuran dua minggu sekali dalam tempoh tidak lebih daripada 60 bulan. Skim ini adalah dibiayai dan dijamin
sepenuhnya oleh CGC.
PUNB telah memperkenalkan Dana Bersepadu
Sistem Francais pada tahun 1998 di mana jumlah dana yang diperuntukkan adalah
sebanyak RM 100 juta. Misi utama PUNB
mewujudkan skim ini adalah untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia. Kumpulan sasaran ini tertumpu kepada
francaisor, francaisi dan francaisi induk.
Objektif dan strategi utama skim francais PUNB adalah untuk menyokong
pembangunan perniagaan francais yang sedia ada, memberikan sokongan menyeluruh
kepada pembangunan perniagaan francais yang baru, membantu penglibatan usahawan
bumiputera di dalam industri francais serta membantu penyertaan usahawan
bumiputera dalam industri peruncitan secara lebih sistematik dan efektif.
3. CABARAN DAN HALANGAN YANG DIHADAPI OLEH
FRANCAISI DAN FRANCAISOR DI MALAYSIA
a. Tidak memberi kebebasan kepada francaisi
Ini berikutan francaisor yang tidak
memberi kebebasan kepada francaisi dan tindakan ini menyebabkan francaisi tidak
dapat menjalankan perniagaan dengan bebas. Berikut adalah beberapa perkara yang
terkandung di dalam perjanjian francais:
● Pemilihan
lokasi - francaisor akan memilih lokasi perniagaannya di mana lokasi tersebut
mungkin bercanggah dengan pandangan francaisi.
Francaisi kebiasaannya akan memilih lokasi dan francaisor akan membuat
lawatan. Namun, sekiranya di dapati lokasi tersebut tidak sesuai, makan
francaisor yang akan memilih lokasi lain yang lebih strategik.
● Hiasan
dalaman dan konsep perniagaan – francaisor akan menukar hiasan dalaman yang
bersesuaian mengikut musim dan ini melibatkan kos yang banyak yang akan memberi
beban kepada francaisi.
● Kawalan
penjualan produk & perkhidmatan – francaisor akan
mengehadkan stok jualan kepada francaisi dan ini memberi masalah kekurangan
stok di premis jualan francaisi. Setiap
stok yang dikeluarkan akan di kawal oleh francaisor.
● Kawalan
mengendalikan operasi perniagaan – francaisor akan mengawal waktu operasi
perniagaan francaisi di bawahnya. Ini termasuk iklan serta promosi jualan yang
akan di lakukan. Pengedar juga hendaklah
daripada pengedar yang di lantik dan diluluskan oleh francaisor dan harga
jualan juga akan di tetapkan dan di kawal oleh francaisor.
b. Penamatan kontrak
Di dalam perniagaan francais, hubungan
antara francaisi dan francaisor adalah amat penting. Seorang francaisi perlu bertanggungjawab dalam
perniagaan yang di jalankan. Sokongan
yang berterusan terutama dalam aspek teknikal dan operasi dari pihak francaisor
adalah amat penting. Francaisi yang
melanggar peraturan akan ditamatkan kontrak serta-merta. Kontrak sah untuk tempoh yang di tetapkan dan
tiada jaminan atas pembaharuan kontrak.
Kontrak juga akan dibatalkan jika francaisor mendapati tiada keuntungan
dari hasil jualan, francaisi sukar membayar royalti, dan sebab-sebab yang
merugikan perniagaan. Di Malaysia,
setiap perjanjian francaisi adalah untuk 5 tahun, dan francaisi perlu
mendapatkan pulangan modal sebelum tercapai tempoh 5 tahun.
c. Modal yang amat tinggi
Kos untuk mendapatkan hak menggunakan
jenama dan bantuan dari francaisor adalah tinggi dan francaisi perlu membayar
kos-kos seperti yuran francais. Yuran
francais adalah yuran yang besar dan tidak dikembalikan. Francaisi perlu membayar kos sewa, deposit,
pembelian asset dan pengubahsuaian kedai.
Francaisi juga perlu membayar royalti mengikut peratusan jualan bulanan
dan royalti wajib di bayar walaupun tiada keuntungan.
4.0 MASA HADAPAN FRANCAIS DI MALAYSIA
Francaisor
merupakan syarikat yang mempunyai sistem pemasaran yang telah terbukti berjaya. Sistem francais digunakan oleh
perniagaan-perniagaan berjaya untuk berkembang dengan cepat dan melipatgandakan
keuntungan mereka dengan mengamalkan sistem yang berjaya di lokasi baru. Sistem
ini membolehkan francaisor mengatasi kekangan modal kerana modal akan
dikeluarkan oleh francaisi.
Sebahagian besar daripada perniagaan
francais adalah berasaskan makanan, perkhidmatan, aksesori wanita, keperluan
rumah dan telekomunikasi. Syarikat yang
telah mengamalkan francais termasuklah McDonald, KFC, Hot DOG 1901, Kedai
Cosway, Kopitiam dan lain-lain lagi.
Dahulunya, pihak francaisi teragak-agak untuk membuka perniagaan
francais ini kerana kekurangan modal.
Namun kini, ia tidak lagi kerana kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan
dan insentif kepada usahawan terutama golongan bumiputera untuk melibatkan diri
dalam bidang ini.
Ini selaras dengan usaha menggalakkan
lebih ramai bumiputera untuk menyertai perniagaan francais yang sangat
menguntungkan, berdaya maju, lebih stabil dan berisiko rendah. Malahan industri francais ini juga adalah
untuk semua golongan tidak kira pangkat atau status. Apa yang penting, bakal usahawan mempunyai
minat, kemahuan dan tekad serta semangat yang tinggi untuk berjaya.
Kerajaan melancarkan Program Pembangunan
Francais pada tahun 1992 dan selepas Persatuan Francais Malaysia ditubuhkan
pada tahun 1994. Sejak itu pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan bagi
memberi kesedaran kepada masyarakat usahawan mengenai potensi perniagaan
francais di negara ini. Dari segi pertumbuhan industri francais, pada masa ini
Malaysia menduduki tangga yang kedua (2) di kalangan negara Asia dan tangga
yang kedua puluh satu (21) di dunia.
Mengikut perangkaan, sebanyak 5%
dari jumlah jualan runcit tahunan di Malaysia adalah daripada outlet francais.
Ini adalah sesuatu yang membanggakan memandangkan industri francais di Malaysia
masih agak baru berbanding dengan negara-negara lain. KPDNKK tidak mempunyai
data yang tepat mengenai bilangan sebenar perniagaan francais yang dijalankan
di negara ini. Walau bagaimanapun adalah dianggarkan terdapat 268 buah
perniagaan yang difrancaiskan dan sebanyak 6,500 outlet perniagaan francais di
Malaysia.
Sebahagian besar daripada
perniagaan francais ini adalah dalam sektor makanan, perkhidmatan, aksesori
wanita, keperluan rumah dan telekomunikasi. Potensi perniagaan francais Malaysia
untuk berkembang ke negara Asean dan lain-lain negara adalah cerah. Kerajaan
sentiasa memberi galakan ke atas usaha ini. Pada masa ini belum banyak produk
francais tempatan difrancaiskan ke luar negara.
Pertumbuhan kukuh itu dijangka
dicapai melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional 2012‐2016 yang bakal menetapkan hala
tuju strategik membangunkan industri ini supaya ia berdaya saing serta mampu
memanfaatkan penggiat industri francais negara.
5.0
KESIMPULAN
Di Malaysia, perniagaan melalui sistem
francais merupakan perniagaan yang paling cepat berkembang. Kerajaan sendiri telah mengenal pasti
perniagaan menggunakan sistem francais sebagai satu di antara mekanisma yang paling
berkesan dalam membangunkan usahawan-usahawan tempatan dan telah menjadikan
Program Pembangunan Francais sebagai satu di antara program utama yang
membangunkan usahawan bumiputera.
Strategik perlaksanaan kerajaan mengenai
industri francais boleh memberi kesan kepada pembangunan usahawan. Berdasarkan kepada keadaan persekitaran
sekarang adalah sukar membentuk dan melahirkan usahawan melayu kelas
menengah. Sebaliknya, strategi perlaksanaan
yang ada akan memberi satu keadaan yang akan mengecewakan kepada usahawan kecil
khususnya bumiputera.
Bagi golongan yang berpendapatan rendah,
pihak kerajaan dan bukan kerajaan juga ada menyediakan bantuan kewangan
mengikut kelayakan yang telah ditetapkan dan ini membolehkan mereka yang kurang
berkemampuan memasuki industri francais. Malah bantuan kewangan ini diberikan
kepada golongan bumiputera dan bukan bumiputera. Sedikit sebanyak ia dapat membantu golongan
yang tidak berkemampuan yang ingin menjalankan perniagaan sendiri.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete