Thursday, 17 December 2015

Industri francais di Malaysia






1.0  PENGENALAN

SEJARAH PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS PADA PERINGKAT GLOBAL DAN MALAYSIA

Perkembangan francais di Malaysia dikatakan bermula pada dekad 1970- an dengan kemasukan A&W ke pasaran tempatan.  Pengedaran kereta Proton Saga melalui EON adalah antara projek francais terbesar di Malaysia.  Kereta-kereta Proton ini dijual melalui sistem francais antara EON dan para francaisi dan kejayaannya dapat dilihat apabila EON kekal sebagai peneraju pasaran dalam penjualan kereta.




Perkembangan francais semakin pesat di Malaysia apabila kerajaan mewujudkan Program Pembangunan Francais (PPF) di bawah seliaan Unit Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1992.  Program ini bertujuan untuk meningkatkan francaisi induk, francaisi dan francaisor tempatan yang berjaya serta menggerakkan penglibatan bumiputera dengan lebih aktif dalam sektor perdagangan, perindustrian dan perkhidmatan. 




       Pihak kerajaan mempunyai keyakinan bahawa perniagaan francais akan diterima oleh masyarakat di negara ini dan ia mempunyai potensi yang besar untuk berkembang.  Ini adalah berdasarkan banyak produk tempatan yang berpotensi untuk dibangun dan difrancaiskan sehingga ke luar negara jika diuruskan dengan baik.  Kerajaan Malaysia juga tidak menghalang produk francais luar negeri untuk masuk ke pasaran tempatan kerana potensi perkembangan di Malaysia adalah cerah.  Namun, semasa era kegawatan ekonomi, tumpuan kerajaan lebih diberikan kepada mengembangkan produk-produk tempatan.  Dari segi pertumbuhan francais, Malaysia secara umumnya menduduki tangga kedua di kalangan Negara Asia dan tangga ke-21 di dunia.




       Tinjauan awal mendapati wujudnya kira-kira 6500 outlet francais di Malaysia tetapi hanya sebahagian kecil sahaja yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Persatuan Francais Malaysia. 




Perniagaan secara francais sudah lama bertapak di Malaysia tetapi baru sahaja popular di kalangan perniagaan pada dekad 90-an ini.  Menurut Fulop dan Forward (1997), format perniagaan francais telah berkembang sepanjang 40 tahun yang lalu sebagai bentuk perniagaan alternatif dalam pengagihan dan pembangunan perniagaan. 




       Perniagaan francais semakin meningkat popular dan berkembang dengan pesat di negara-negara membangun.  Di Malaysia francais dijadikan sebagai satu daripada daripada perkakas untuk mencapai matlamat pembangunan negara.  Usaha-usaha untuk menambahkan bilangan pelabur tempatan dalam perniagaan global melalui saluran francais menjadi agenda terpenting dalam pembangunan negara.

      

        Pakej francais menawarkan pelbagai kemudahan yang mempertaruhkan jaminan dalam perniagaan.  Walau bagaimanapun, francais merupakan pakej perniagaan yang terbukti mencapai kejayaan dengan melihat pengalaman di negara maju seperti Amerika Syarikat. 




       Francais adalah satu sistem perniagaan yang dikatakan bermula di Eropah dan dikembangkan dengan pesat di Amerika Syarikat lebih 100 tahun yang lalu.  Perkataan francais adalah berasal daripada perkataan Perancis “franco” yang bermaksud kebebasan.  System francais ini kemudiannya menjadi begitu popular dan dianggap sebagai satu penemuan global yang inovatif dalam strategi pemasaran, yang melangkaui keperluan pengguna dan sempadan negara.




       McCormick Harvesting Machine Company dan Singer Sewing Machine Company telah memulakan sistem francais di dalam pengedaran barangan mesin jahit keluaran syarikat mereka di sekitar tahun 1850-an.  Ini diikuti oleh industri automatif di Amerika Syarikat yang menjalankan pemasaran kereta menerusi perlantikan pengedar francais di awal 1900-an.  Senario ini diteruskan dengan penemuan yang dianggap klasik, McDonald’s oleh Ray Kroc pada tahun 1955, memulakan sejarah moden sistem perniagaan francais.  Berdasarkan kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, 96% daripada rakyat Amerika telah mengunjungi restoran McDonald’s sekurang-kurangnya sekali dan sekurang-kurangnya 8% daripada mereka menikmati hidangan McDonald’s setiap hari. 



       Pada masa yang sama juga, Kolonel Harlan Sanders mempelopori Kentucky Fried Chicken, diikuti oleh rangkaian restoran makanan segera yang lain seperti Burger King, A&W, Pizza Hut dan lain-lain.  Meskipun, perniagaan francais seringkali dikaitkan dengan rangkaian makanan segera, namun realitinya hari ini dari segi nilai jualan, hampir dua pertiga daripadanya disumbangkan oleh industri bukan berasaskan makanan segera.




       Istilah francais mempunyai pelbagai takrifan yang tersendiri.  Norback & Norback (1982) melihat francais sebagai satu lesen daripada pemilik (francaisor) mengenai dagangan atau servis yang memberikan kebenaran kepada francaisi memasarkan produk atau servis di bawah nama yang dipersetujui dengan sistem francaisor.  Justis dan Juda (1986) pula mentakrifkan francais sebagai salah satu kaedah pengagihan yang digunakan oleh perniagaan untuk pertumbuhan dan perkembangan manakala Ayling (1987) berpandangan francais sebagai kaedah meningkatkan modal oleh francaisor dan untuk francaisor.




       Hodgetts dan Luthans (1997) pula mendefinisikan francais sebagai suatu perjanjian perniagaan di mana satu pihak (francaisor) membenarkan pihak lain (francaisi) beroperasi dalam satu perniagaan yang menggunakan tanda perdagangan, logo, barisan produk dan kaedah pengeluaran sebagai pulangan kepada yuran yang di kenakan.  Manakala Sen (1998) menyatakan bahawa francaisi akan membayar francaisor yuran awal termasuklah bayaran royalti bulanan di mana ianya dikira berdasarkan peratusan dari hasil jualan.  Francaisi juga perlu mengikut norma operasi yang telah ditetapkan oleh francaisor. 




       Persatuan Francais Antarabangsa (IFA) pula mendefinisikan sistem francais sebagai satu sistem dan kaedah pengeluaran di mana satu cara yang membolehkan individu-individu yang mempunyai modal yang mencukupi memiliki perniagaan yang unik, selamat dan terbukti.  Satu sistem di mana membolehkan tuan-tuan perniagaan mengembangkan perniagaan mereka dengan sebuah organisasi yang telah pun matang dan ternama dan satu sistem yang akan berjaya sekiranya para francais diberi latihan yang secukupnya dan memahami serta mematuhi sistem dan prosedur yang ditetapkan oleh francasior.


2.0 SISTEM SOKONGAN KEWANGAN DAN BUKAN KEWANGAN YANG DIBERIKAN OLEH KERAJAAN DAN BUKAN KERAJAAN BAGI PEMBANGUNAN USAHAWAN NEGARA

       Di Malaysia, kerajaan mengambil inisiatif utama dalam membantu sektor perniagaan kecil.  Peranan kerajaan dapat dilihat melalui penubuhan kementerian khas iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Perusahaan Awam dan sebuah badan berkanun SMIDEC atau Small Business Development Corporation di bawah Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa.  Kedua-dua institusi ini bertanggungjawab membentuk dasar-dasar kewangan dan pencukaian bagi menyelaraskan sistem bantuan sokongan kepada perniagaan atau sasaran-sasaran kegiatan ekonomi yang diberi keutamaan oleh pihak kerajaan.



       Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan (KPUn) telah melaksanakan Program Pembangunan Francais dalam usaha mewujudkan usahawan francais di Malaysia terutamanya dalam membangunkan Kelas Menegah Bumiputra.  Antara peranan kementerian dalam membangunkan industri francais negara ialah:



     Mengenalpasti produk-produk yang sesuai difrancaiskan, membangunkan produk francais tempatan yang berpotensi dan mengenalpasti produk francais luar negara yang boleh difrancaiskan di Malaysia.

     Membantu dan menasihati syarikat-syarikat perniagaan mengenai cara dan tindakan-tindakan yang perlu dibuat oleh mereka untuk memfrancaiskan perniagaan.  Ini termasuk panduan untuk menyediakan dokumen-dokumen perniagaan, menjelaskan kepada mereka mengenai tanggungjawab setelah menjadi francaisor dan peranan yang perlu dimainkan untuk membantu francaisi.  Dalam hal ini, kerajaan memberikan insentif dalam bentuk geran sehingga had maksimum RM100,000.00.


      

       Ringkasnya di sini, mereka yang berminat untuk menjadi francaisi tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan pembiayaan kerana terdapat pelbagai skim, tabung dan pinjaman yang disediakan oleh pihak kerajaan dan pihak Institusi kewangan sendiri.  Jika francaisi berhajat mengembangkan operasinya seperti menambah outlet baru, maka pelbagai skim boleh dipohon dan begitu juga jika francaisi berhadapan dengan masalah aliran tunai.  Di samping itu, potensi perniagaan francais Malaysia untuk berkembang ke negara Asean dan negara-negara lain adalah cerah di mana kerajaan sentiasa memberikan galakan ke atas usaha-usaha yang dijalankan.  Namun produk tempatan berkembang ke luar negara masih sedikit dan terikat dengan perniagaan seperti Langkawi Crystall, Marrybrown Fried Chicken, Nelson dan Sugar Bun.




       Untuk menjamin pertumbuhan industri francais yang mantap di Malaysia, kerajaan telah menggubal Akta Francais 1998. Pada umumnya akta ini bertujuan:

    Membolehkan kerajaan mengumpul maklumat mengenai syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan francais melalui satu sistem pendaftaran yang teratur.

    Mengawalselia perlaksaan perniagaan berkonsepkan francais di Malaysia secara keseluruhannya.

    Membendung amalan tidak sihat di dalam perniagaan francais yang antaranya adalah seperti berikut:

i.      Salahguna/kekeliruan dalam penggunaan istilah francais

ii.    Penipuan dalam tawaran menjual francais

iii.   Edaran dokumen francais yang mengelirukan/maklumat palsu

iv.   Diskriminasi antara pemegang francais

v.    Penamatan perjanjian francais tanpa sebab yang munasabah

vi.   Tanggungjawab di dalam perjanjian yang tidak ditunaikan




       Skim bantuan pembangunan francais diwujudkan dengan tujuan memberi bantuan kepada pengusaha-pengusaha individu atau syarikat tempatan agar dapat meringankan bebanan, menjadi insentif dan galakan memfrancaiskan produk dan perniagaan tempatan dan luar negara.  Walau bagaimanapun, kerajaan tidak memberi bantuan sepenuhnya kepada pengusaha, sebaliknya pihak pengusaha perlu juga mengeluarkan modal sendiri bagi memfrancaiskan perniagaan mereka.  Ia merupakan satu pelaburan dalam memperbesarkan perniagaan dan menunjukkan komitmen terhadap usaha-usaha yang dijalankan. 




       KPUn juga menyediakan satu lagi skim bantuan kewangan yang dikenali sebagai Skim Pembiayaan Francais (SPF) dengan dana sebanyak 20 juta yang menyediakan kemudahan pinjaman sehingga 70% daripada kos projek kepada francaisor dan francaisi untuk membeli peralatan, ubahsuai ruang niaga dan modal pusingan dengan kadar faedah rendah berbanding kadar faedah pasaran semasa. 




       Skim Usahawan Siswazah, Tabung Pembiayaan Usahawan Kecil (SEFF) dan Tabung Usawan Kecil (TUK) adalah skim insentif umum secara langsung tidak langsung disediakan oleh kerajaan untuk membantu bakal-bakal usahawan termasuk bakal usahawan francais.  Kesan kegawatan ekonomi telah menyebabkan krisis mencari pekerjaan khususnya di kalangan siswazah institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.  Ekoran daripada ini, KPUn telah mengadakan satu skim iaitu Skim Usahawan Siswazah dan mengambil inisiatif untuk menyediakan lebih banyak peluang melatih mereka berdikari dan menjadi usahawan dengan memberi ilmu pengetahuan dan cara-cara memulakan perniagaan.  Ini akan meningkatkan bilangan usahawan dan ia terbuka kepada golongan bumiputera dan bukan bumiputera.  Matlamat utama skim ini adalah untuk memberi peluang kepada siswazah-siswazah mendapat pengetahuan dan pengalaman di dalam bidang pengurusan perniagaan dan juga untuk mewujudkan usawahan daripada kalangan siswazah.




       Kota Francais telah diilhamkan untuk memanfaatkan konsep francais sebagai satu kaedah berniaga yang berjaya, terutamanya untuk usahawan baru.  Kota Francais menempatkan semua jenis perniagaan francais di bawah satu bumbung dan akan dibangunkan di lokasi-lokasi yang strategik di seluruh Malaysia.  Setiap Kota Francais akan menekankan produk dan servis bermutu, ciri keselamatan dan kemampuan membeli. 




       Tabung Usahawan Kecil (TUK) merupakan skim pembiayaan khas yang memperkenalkan pendekatan baru yang lebih berkesan untuk menyalurkan pembiayaan di antara RM 2,000.00 hingga RM 20,000.00 kepada golongan usahawan kecil di negara ini.  Ia menawarkan pembiayaan dengan cara tersusun mengikut kesesuaian dan keperluan perniagaan masing-masing.  Kos pembiayaan sebanyak 5% akan dikenakan kepada setiap peminjam.  Biayaan dibuat secara tetap dengan bayaran ansuran dua minggu sekali dalam tempoh tidak lebih daripada 60 bulan.  Skim ini adalah dibiayai dan dijamin sepenuhnya oleh CGC.




       PUNB telah memperkenalkan Dana Bersepadu Sistem Francais pada tahun 1998 di mana jumlah dana yang diperuntukkan adalah sebanyak RM 100 juta.  Misi utama PUNB mewujudkan skim ini adalah untuk menerajui pembangunan  industri francais di Malaysia.  Kumpulan sasaran ini tertumpu kepada francaisor, francaisi dan francaisi induk.  Objektif dan strategi utama skim francais PUNB adalah untuk menyokong pembangunan perniagaan francais yang sedia ada, memberikan sokongan menyeluruh kepada pembangunan perniagaan francais yang baru, membantu penglibatan usahawan bumiputera di dalam industri francais serta membantu penyertaan usahawan bumiputera dalam industri peruncitan secara lebih sistematik dan efektif.



      
3. CABARAN DAN HALANGAN YANG DIHADAPI OLEH FRANCAISI DAN FRANCAISOR DI MALAYSIA

a.      Tidak memberi kebebasan kepada francaisi
       Ini berikutan francaisor yang tidak memberi kebebasan kepada francaisi dan tindakan ini menyebabkan francaisi tidak dapat menjalankan perniagaan dengan bebas. Berikut adalah beberapa perkara yang terkandung di dalam perjanjian francais:

     Pemilihan lokasi - francaisor akan memilih lokasi perniagaannya di mana lokasi tersebut mungkin bercanggah dengan pandangan francaisi.  Francaisi kebiasaannya akan memilih lokasi dan francaisor akan membuat lawatan. Namun, sekiranya di dapati lokasi tersebut tidak sesuai, makan francaisor yang akan memilih lokasi lain yang lebih strategik.

     Hiasan dalaman dan konsep perniagaan – francaisor akan menukar hiasan dalaman yang bersesuaian mengikut musim dan ini melibatkan kos yang banyak yang akan memberi beban kepada francaisi.

     Kawalan penjualan produk & perkhidmatan – francaisor akan mengehadkan stok jualan kepada francaisi dan ini memberi masalah kekurangan stok di premis jualan francaisi.  Setiap stok yang dikeluarkan akan di kawal oleh francaisor.

     Kawalan mengendalikan operasi perniagaan – francaisor akan mengawal waktu operasi perniagaan francaisi di bawahnya. Ini termasuk iklan serta promosi jualan yang akan di lakukan.  Pengedar juga hendaklah daripada pengedar yang di lantik dan diluluskan oleh francaisor dan harga jualan juga akan di tetapkan dan di kawal oleh francaisor.


b.     Penamatan kontrak
       Di dalam perniagaan francais, hubungan antara francaisi dan francaisor adalah amat penting.  Seorang francaisi perlu bertanggungjawab dalam perniagaan yang di jalankan.  Sokongan yang berterusan terutama dalam aspek teknikal dan operasi dari pihak francaisor adalah amat penting.  Francaisi yang melanggar peraturan akan ditamatkan kontrak serta-merta.  Kontrak sah untuk tempoh yang di tetapkan dan tiada jaminan atas pembaharuan kontrak.  Kontrak juga akan dibatalkan jika francaisor mendapati tiada keuntungan dari hasil jualan, francaisi sukar membayar royalti, dan sebab-sebab yang merugikan perniagaan.  Di Malaysia, setiap perjanjian francaisi adalah untuk 5 tahun, dan francaisi perlu mendapatkan pulangan modal sebelum tercapai tempoh 5 tahun.


c.      Modal yang amat tinggi
       Kos untuk mendapatkan hak menggunakan jenama dan bantuan dari francaisor adalah tinggi dan francaisi perlu membayar kos-kos seperti yuran francais.  Yuran francais adalah yuran yang besar dan tidak dikembalikan.  Francaisi perlu membayar kos sewa, deposit, pembelian asset dan pengubahsuaian kedai.  Francaisi juga perlu membayar royalti mengikut peratusan jualan bulanan dan royalti wajib di bayar walaupun tiada keuntungan. 

 4.0 MASA HADAPAN FRANCAIS DI MALAYSIA

       Francaisor merupakan syarikat yang mempunyai sistem pemasaran yang telah terbukti berjaya.  Sistem francais digunakan oleh perniagaan-perniagaan berjaya untuk berkembang dengan cepat dan melipatgandakan keuntungan mereka dengan mengamalkan sistem yang berjaya di lokasi baru. Sistem ini membolehkan francaisor mengatasi kekangan modal kerana modal akan dikeluarkan oleh francaisi.



       Sebahagian besar daripada perniagaan francais adalah berasaskan makanan, perkhidmatan, aksesori wanita, keperluan rumah dan telekomunikasi.  Syarikat yang telah mengamalkan francais termasuklah McDonald, KFC, Hot DOG 1901, Kedai Cosway, Kopitiam dan lain-lain lagi.  Dahulunya, pihak francaisi teragak-agak untuk membuka perniagaan francais ini kerana kekurangan modal.  Namun kini, ia tidak lagi kerana kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif kepada usahawan terutama golongan bumiputera untuk melibatkan diri dalam bidang ini.



       Ini selaras dengan usaha menggalakkan lebih ramai bumiputera untuk menyertai perniagaan francais yang sangat menguntungkan, berdaya maju, lebih stabil dan berisiko rendah.  Malahan industri francais ini juga adalah untuk semua golongan tidak kira pangkat atau status.  Apa yang penting, bakal usahawan mempunyai minat, kemahuan dan tekad serta semangat yang tinggi untuk berjaya.


       Kerajaan melancarkan Program Pembangunan Francais pada tahun 1992 dan selepas Persatuan Francais Malaysia ditubuhkan pada tahun 1994. Sejak itu pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat usahawan mengenai potensi perniagaan francais di negara ini. Dari segi pertumbuhan industri francais, pada masa ini Malaysia menduduki tangga yang kedua (2) di kalangan negara Asia dan tangga yang kedua puluh satu (21) di dunia. 



            Mengikut perangkaan, sebanyak 5% dari jumlah jualan runcit tahunan di Malaysia adalah daripada outlet francais. Ini adalah sesuatu yang membanggakan memandangkan industri francais di Malaysia masih agak baru berbanding dengan negara-negara lain. KPDNKK tidak mempunyai data yang tepat mengenai bilangan sebenar perniagaan francais yang dijalankan di negara ini. Walau bagaimanapun adalah dianggarkan terdapat 268 buah perniagaan yang difrancaiskan dan sebanyak 6,500 outlet perniagaan francais di Malaysia. 

           

Sebahagian besar daripada perniagaan francais ini adalah dalam sektor makanan, perkhidmatan, aksesori wanita, keperluan rumah dan telekomunikasi. Potensi perniagaan francais Malaysia untuk berkembang ke negara Asean dan lain-lain negara adalah cerah. Kerajaan sentiasa memberi galakan ke atas usaha ini. Pada masa ini belum banyak produk francais tempatan difrancaiskan ke luar negara. 



Pertumbuhan kukuh itu dijangka dicapai melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional 20122016 yang bakal menetapkan hala tuju strategik membangunkan industri ini supaya ia berdaya saing serta mampu memanfaatkan penggiat industri francais negara. 


5.0 KESIMPULAN

       Di Malaysia, perniagaan melalui sistem francais merupakan perniagaan yang paling cepat berkembang.  Kerajaan sendiri telah mengenal pasti perniagaan menggunakan sistem francais sebagai satu di antara mekanisma yang paling berkesan dalam membangunkan usahawan-usahawan tempatan dan telah menjadikan Program Pembangunan Francais sebagai satu di antara program utama yang membangunkan usahawan bumiputera.  



       Strategik perlaksanaan kerajaan mengenai industri francais boleh memberi kesan kepada pembangunan usahawan.  Berdasarkan kepada keadaan persekitaran sekarang adalah sukar membentuk dan melahirkan usahawan melayu kelas menengah.  Sebaliknya, strategi perlaksanaan yang ada akan memberi satu keadaan yang akan mengecewakan kepada usahawan kecil khususnya bumiputera.



       Bagi golongan yang berpendapatan rendah, pihak kerajaan dan bukan kerajaan juga ada menyediakan bantuan kewangan mengikut kelayakan yang telah ditetapkan dan ini membolehkan mereka yang kurang berkemampuan memasuki industri francais. Malah bantuan kewangan ini diberikan kepada golongan bumiputera dan bukan bumiputera.  Sedikit sebanyak ia dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan yang ingin menjalankan perniagaan sendiri.